Entry kali ni saya nak berkongsi pendapat tentang Hukum Pelaburan ASB, idea ni datang masa saya tengah syok-syok minum petang dengan kawan-kawan. Tengah dok sembang-sembang seorang kawan bertanya pasal ASB ni.
Sebenarnya perbincangan tentang hukum ASB ni dah lama diperdebatkan. Banyak fatwa-fatwa telah dikeluarkan, ada yang mengharuskan dan ada juga yang mengharamkan. Antara fatwa yang mengharuskan adalah fatwa negeri Perak dan Sarawak dan yang mengharamkannya pula dari Fatwa negeri Selangor.
Keputusan fatwa negeri Selangor seperti berikut:
Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-
1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:
ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”
2. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.
Bagi pandangan peribadi saya, saya bersetuju dengan keputusan fatwa negeri Selangor. Ini kerana terlalu banyak percampuran halal dan haram didalam pelaburan ini. Sebenarnya banyak alternatif pelaburan lain di Malaysia yang HALAL, cuma kita sahaja malas untuk mengkaji.
Pinjaman Kewangan untuk Pelaburan ASB
Untuk maslahat ini pula, bagi saya jika pinjaman itu dibuat dari bank konvensional, secara jelas kita ketahui bahawa pinjaman tadi terbatal dari hukum syarak. Dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan juga bersepakat bahawa pinjaman ini adalah haram.
Wallahualam,.